Thursday, March 31, 2022

RUU Pindaan Akta Kawalan Bekalan 1961

Perbahasan RUU Pindaan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961 oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Wong Hon Wai pada 21-3-2022


Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Saya turut ingin menyertai perbahasan berkenaan dengan pindaan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961.
Saya meneliti dalam website KPDNHEP bahawa barang-barang kawalan yang telah diisytiharkan di bawah seksyen 5 dan dalam Jadual 1 Peraturan Kawalan Bekalan 1974 termasuk antara lain tepung gandum, kerosin, gula, baja, minyak masak, petrol, diesel, bar bulat keluli lembut, simen, liquefied petroleum gas (LPG), roti dan ayam. Begitu panjang senarai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Saya setuju dengan tadi beberapa perbahasan rakan-rakan saya, Yang Berhormat Rasah, Yang Berhormat Kepong yang antara lain menyatakan bahawa kekhuatiran mereka terhadap salah guna kuasa apabila ada enabling act untuk membolehkan tangkapan tanpa waran tersebut. Itu technicality yang perlu kita perhalusi. Apakah safeguard terhadap salah guna seksyen tersebut?
Akan tetapi, apa yang saya ingin tumpukan perhatian dalam perbahasan saya adalah berkenaan dengan apabila kita kata kawalan bekalan, biasanya ia dikaitkan dengan subsidi kerajaan.
Saya rasa khuatir kerana bil subsidi negara kita kian meningkat apabila kawal bekalan. Maksudnya, kerajaan menanggung bil subsidi.
Apabila petrol, LPG dan diesel― Yang Berhormat Menteri Kewangan telah menyatakan bahawa akan mengeluarkan RM28 bilion pada tahun 2022 untuk subsidi petrol, LPG dan diesel apabila international brent crude oil price mencecah minggu ini USD110 per barrel.
Begitu juga dengan minyak masak. CPO price meningkat tinggi. CPO futures melebihi RM8,000 per tonne.
Kita juga mengetahui bawah windfall profit levy tahun 2022 melebihi RM1 bilion. Export tax yang kita akan terima ialah RM2 bilion. Saya meminta supaya windfall profit levy dan juga export tax serta cukai-cukai yang kita akan kutip dalam industri kelapa sawit ini digunakan untuk membantu untuk menstabilkan harga minyak masak.
Apa yang dinyatakan oleh Menteri bahawa mengeluarkan RM2 bilion tahun 2022 untuk subsidi satu kilogram minyak masak polybag banyak kelemahan daripada segi pentadbiran yang telah dinyatakan rakan-rakan kita. Banyak ketirisan yang berlaku, penyelewengan, penyeludupan yang berlaku dan terdapat market distortion yang berlaku. Saya rasa kita perlu fikir masak-masak dan kita perlu lihat juga bagaimana negara-negara melaksanakan dengan lebih efektif.
Begitu juga tentang ayam dan telur. Kita telah subsidi 60 sen per kilogram untuk ayam dan lima sen satu biji telur dari Februari hingga Jun yang menelan belanja RM528.5 million untuk menetapkan harga siling ayam kepada RM8.90 per kilogram. Kita hairan juga, self-sufficiency level (SSL) untuk ayam telah melebihi 100 peratus. Sebenarnya kita ada mengeksport ayam dan telur tetapi mungkin kita eksport ke negara ASEAN lain seperti Singapura dan sebagainya. Bagaimanakah kita dapat menstabilkan harga tersebut?
Saya minta juga lihat bukan sahaja menggunakan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang nampaknya tidak begitu efektif. Tidak efektif terhadap kawalan harga- harga bahan asas, kadar inflasi melambung tinggi, consumer price index (CPI) akan naik dengan berbagai-bagai harga barangan yang naik. Nampaknya Akta Kawalan Harga ini tidak dapat mengawal harga.
Saya rasa boleh lihat juga perundangan- perundangan lain, subsidy legislation lain seperti kawalan eksport dan sebagainya dan bagaimana pula dengan domestic mandatory order yang dijalankan di negara ASEAN seperti Indonesia untuk menstabilkan harga minyak masak.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai kesimpulan, bahawa Akta Kawalan Harga 1961 ini sememangnya bukanlah penyelesaian yang boleh menyelesaikan semua masalah. Kita perlu lihat kepada exit plan. Apabila kita beri subsidi kepada sesuatu barang, kawal harga, kita mesti ada satu pelan untuk exit untuk membolehkan market mechanism untuk take over dan bukan memberikan subsidi selama-lamanya, berpuluh-puluhan tahun dengan menggunakan harga kawalan dengan subsidi dan sebagainya, harga siling dan sebagainya. Perlu ada ikhtiar untuk menyelesaikan root cause tersebut. Harga kawalan dan juga ceiling price subsidy ini boleh dijadikan mekanisme sementara tetapi penyelesaian yang lebih jangka panjang perlu diikhtiarkan.
Itu sahaja, Tuan Yang di-Pertua.

No comments: